Start of content

Speech by Assoc Prof Dr Muhammad Faishal Ibrahim at the Supplementary Budget Debate 2020

Introduction

1   Within a span of 3 months, we have seen the far-reaching impact of the COVID-19 pandemic. Singaporeans are now grappling with the economic impact of the pandemic. Many are facing the grim realities of pay cuts, job losses and business downturn. Amidst these uncertainties, many are worried and naturally will ask - how long will this last, and how will I provide for my family. We hear your worries and concerns.

2   I would like to share some of the efforts by MSF and our partner agencies to help the more vulnerable Singaporeans and residents. I will also highlight specific help measures for the Malay/Muslim community to help them get through these uncertain times. Allow me to continue my speech in Malay.

Bantuan-bantuan berkenaan COVID-19

3   Tuan Speaker, Pemerintah prihatin terhadap golongan-golongan yang teruk terjejas oleh kelembapan ekonomi, ekoran wabak COVID-19. Kementerian saya ada melaksanakan beberapa skim bantuan. Di antaranya adalah Dana Bantuan Kewangan Sementara, atau Temporary Relief Fund (TRF), untuk membantu warga and Penduduk Tetap Singapura berpendapatan rendah dan pertengahan, yang hilang pekerjaan atau mengalami sekurang-kurangya 30 peratus potongan gaji, disebabkan COVID-19. Bantuan sekali sebanyak $500 ini, sekurang-kurangnya dapat segera membantu menampung keperluan seharian keluarga. Dalam masa 4 hari sejak permohonan dibuka pada 1 April 2020, lebih 100,000 permohonan telah diterima untuk skim bantuan TRF.

4   Mereka yang hilang pekerjaan, akibat kelembapan ekonomi ekoran COVID-19, boleh memanfaatkan Geran Bantuan COVID-19 mulai 1 Mei 2020. Geran ini memberi bantuan sebanyak $800 sebulan, buat selama 3 bulan. Pada waktu yang sama, penerima bantuan juga akan diberi sokongan pekerjaan atau latihan, atau kedua-duanya sekali, melalui WSG atau e2i.

5   Saya amat terharu dan bangga melihat masyarakat bersatu-padu menyumbang kepada Dana Keberanian, atau Courage Fund, untuk membantu mereka yang terjejas oleh COVID-19. Jumlah sumbangan kini mencecah lebih daripada $8 juta. Dana ini membantu pekerja kesihatan dan mereka yang berada di barisan hadapan. Bantuan juga disediakan untuk keluarga berpendapatan rendah yang hilang pendapatan kerana ada anggota keluarga yang dijangkiti COVID-19, atau menjalani kuarantin, notis duduk di rumah atau cuti ketidakhadiran. Keluarga berpendapatan rendah kini boleh memohon bantuan Dana Keberanian di Pejabat Khidmat Sosial (SSO). Butir-butir lanjut mengenai skim-skim bantuan Dana Keberanian boleh didapati di laman web Majlis Khidmat Sosial Nasional (NCSS).

6   MSF juga telah meningkatkan bantuan bagi golongan berpendapatan rendah yang terjejas secara langsung oleh COVID-19.

a. Pejabat Khidmat Sosial, atau SSO, telah mendekati lebih 6,400 rakyat Singapura yang menjalani kuarantin atau diberi notis duduk di rumah, yang mungkin memerlukan bantuan ComCare, ataupun sokongan yang lain. SSO juga bekerjasama dengan pihak akar umbi untuk membeli atau menghantar barangan runcit kepada mereka yang menjalani kuarantin atau notis duduk di rumah, tapi tidak mempunyai keluarga, rakan atau jiran yang boleh membantu.

b. MSF juga telah mempermudah proses permohonon bantuan ComCare, bagi golongan yang menjalani kuarantin atau notis duduk rumah, sekiranya mereka memerlukan bantuan. Misalnya, para pemohon boleh menghantar dokumen-dokumen sokongan secara elektronik melalui emel.

7   Selain langkah-langkah membantu mereka yang terjejas secara langsung oleh COVID-19, kami juga telah meningkatkan bantuan bagi golongan-golongan lain yang memohon bantuan kewangan ComCare. Mereka yang layak menerima Bantuan Jangka Pendek hingga Pertengahan ComCare akan dibantu buat jangka masa lebih panjang, iaitu sekurang-kurangya 6 bulan. Ini bertujuan menstabilkan keadaan kewangan keluarga, sementara ahli keluarga mereka mencari pekerjaan atau peluang latihan semula.

Bantuan untuk masyarakat Melayu/ Islam

8   Dalam masa-masa sukar seperti ini, amat penting untuk kita melakukan apa yang perlu bukan sahaja untuk melindungi diri kita sendiri tapi juga orang di sekeliling kita. Masyarakat perlu menyesuaikan diri kepada norma-norma sosial yang baru. Ini termasuk mengelak tempat-tempat yang sesak dan majlis keramaian untuk mengekang penularan COVID-19.

Pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga

9   Bagi pasangan yang telah merancang untuk mendirikan rumahtangga dalam beberapa bulan yang mendatang, kami tahu anda kecewa dan mungkin terpaksa membuat beberapa penyesuaian dalam perancangan anda. Oleh itu, ROMM akan memberi pengecualian bayaran kepada pasangan yang ingin menukar dan mendaftar semula tarikh pernikahan mereka. Pasangan yang terjejas boleh menghubungi ROMM jika ingin menukar tarikh pernikahan ekoran COVID-19. Pada bulan Mac 2020, seramai 49 pasangan telah menerima pengecualian bayaran dari ROMM.

Pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah

10   Walaupun kita sibuk mengekang penularan COVID-19, kita perlu memastikan pendidikan anak-anak kita tidak terjejas. Ini amat penting terutama bagi pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah yang kini mungkin berasa lebih tertekan oleh masalah kewangan keluarga.

11   Pelajar-pelajar yang dahulunya tidak layak menerima Subsidi Yuran Tuisyen Pengajian Tinggi, iaitu TTFS, ataupun pinjaman pelajaran tanpa faedah yang dikendalikan oleh Mendaki kini boleh memohon sekali lagi, sekiranya ada perubahan kepada pendapatan keluarga, disebabkan COVID-19. MENDAKI juga akan menghubungi para pelajar yang menerima subsidi 50 per cent atau 75 per cent, untuk mereka membuat permohonan semula bagi kadar subsidi lebih tinggi, sekiranya pendapatan keluarga mereka telah berubah.

12   Ada pula pelajar ITE yang terpaksa bekerja separuh masa untuk menampung keperluan diri mereka, tapi telah hilang pekerjaan disebabkan COVID-19. Bagi pelajar-pelajar sedemikian, MENDAKI akan memberi bantuan kewangan selama 3 bulan. Mereka akan menerima elaun $10 bagi setiap hari sekolah untuk menampung kos pengangkutan dan makanan.

13   Ini diharapkan dapat mengurangkan tekanan kepada para pelajar agar mereka dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran mereka. Seramai 2,000 pelajar akan mendapat bantuan ini. Selain pelajar ITE, MENDAKI juga akan memberi elaun ini kepada penuntut Institut Pengajian Tinggi yang menjadi mentor kepada pelajar ITE dalam Program Pemerkasaan, iaitu Empowerment Programme MENDAKI.

Sumbangan Badan-Badan Melayu/Islam untuk keluarga yang mudah terjejas

14   Satu pengajaran yang kita raih daripada COVID-19 adalah perlunya kita saling prihatin dan berdiri teguh bersatu. Saya amat berbesar hati melihat ramai masyarakat Melayu/Islam yang tampil ke hadapan menyokong usaha Singapura menangani COVID-19, dan membantu mereka yang memerlukan.

15   Badan-badan Melayu/Islam adalah tunggak sokongan yang penting. Saya amat gembira AMP telah mengumumkan Pakej Bantuan Sementara ataupun TAP 2.0 berjumlah $100,000 untuk membantu para pekerja yang pendapatan keluarga mereka terjejas oleh COVID-19.

16   Satu lagi badan Melayu/Islam yang telah tampil menyumbang adalah Persatuan Pemudi Islam Singapura, iaitu PPIS. PPIS akan menubuhkan Dana WIN PPIS untuk golongan wanita yang memerlukan, dan yang telah meninggalkan pekerjaan mereka untuk menjaga ibu bapa yang lanjut usia atau anak-anak, dalam keadaan COVID-19.

17   Dana Rahmatan Lil Alamin juga telah bekerjasama dengan masjid-masjid untuk mengumpul lebih daripada $150,000 bagi Dana Keberanian, yang telah saya sebutkan tadi.

18   Walaupun gejala COVID-19 telah menimbulkan pelbagai cabaran buat negara kita, ia juga telah menunjukkan sifat penyayang masyarakat kita, dan bila kita bersatu, tiada warga Singapura yang akan ketinggalan.

19   Tuan Speaker, COVID-19 menguji daya tahan sesebuah masyarakat. Ia menjejas mata pencarian kita, cara kehidupan seharian kita, cara kita beribadah dan bergaul dalam masyarakat. Namun ia tidak akan merampas semangat perjuangan kita. Setiap individu memainkan peranan penting dalam perjuangan mengatasi COVID-19. Tiada usaha yang sia-sia. Malah, usaha sekecil menjaga kebersihan diri dan sikap bertanggungjawab sosial adalah benteng bagi mencegah penularan COVID-19. Ayuh, kita bangkitkan semangat perjuangan, saling bantu mereka yang terjejas, dan bersatu dalam memerangi gejala COVID-19.

Ingatlah, bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Thank you. 

Share to Facebook Share to Twitter More...

Related Media Room Items